Tuesday, August 23, 2011

Hakikat Ketenangan

Salam sahabat semuanya. Bismillahirrahmanirrahim.
Ketenangan atau kebahagiaan selalu didambakan manusia seluruhnya. Walaupun sesetengah insan tidak menyedari hakikat ini, tetapi inilah hadiah teragung dari Allah. Kehidupan orang yang mempunyai cuma rumah usang kadangkala lebih indah dan mesra berbanding orang yang memiliki vila dan istana. Wujud juga manusia yang makan bersila di atas lantai rapuh dimamah serangga, namun begitu mereka jauh lebih selesa dan kenyang berbanding manusia yang makan di hotel dan mahligai. Sememangnya bahagia ini suatu yang sangat misteri. Orang miskin boleh bahagia ke? Bahkan ada orang sepanjang hidupnya tidak pernah kenal erti senang, namun martabatnya tinggi di sisi Allah. Mereka dapat kecapi keanehan bahagia.
Sesungguhnya manusia itu akhirnya akan lelah dan mengalah. Akhirnya mereka kembali mencari keindahan dalam kehidupan setelah falsafah hidup mereka gugur dan tersungkur. Ada yang menjangkakan harta pembuka bahagia. Tidak kurang merasakan pangkat besar kunci ketenangan. Mungkin juga ada yang beranggapan isteri dan anak-anak penyeri kehidupan.
Sejarah manusia sudah membuktikan semua itu. Memiliki harta setinggi gunung sekalipun, kepuasan dan kehendak tidak pernah mati. Tidak pernah cukup. Akhirnya harta menyibukkan manusia mencarinya sehingga lalai mengumpul kekayaan. Kebahagiaan semakin hari, semakin jauh merangkak pergi. Perhatikan sekiranya manusia ini jatuh muflis, apakah dia akan merasakan kebahagiaan? Pastinya tidak. Kenapa? Kerana harta bukan kunci bahagia.
Tidak cukup dengan harta yang melimpah-limpah, mereka juga berlumba-lumba mendapatkan pangkat termulia. Bersaing siang, senja dan malam mengejar darjat pengiktirafan sehingga akhirnya mereka terlupa bahawa bahagia dan pangkat itu bukannya adik-beradik. "Dipikatnya pangkat, bahagia pun turut tertawan dan jatuh hati". Tidak. Apa jadi sekiranya secara mendadak manusia spesis ini tersungkur menjamah bumi? Dikhianati dan dibuang kerja. Falsafah yang mereka pegang "Pangkat kunci bahagia" kini sudah patah anak kuncinya. Bagaimana mungkin pintu bahagia itu mampu terbuka? Maka mereka menyedari hakikat itu dan terus mencari kunci bahagia yang hakiki.
Suasana dilimpahi isteri rupawan/suami tampan, anak-anak menawan, sahabat-handai dermawan. Sudahkah itu menjamin anak kunci bahagia? Belum tentu. Kehidupan yang dihiasi keluarga dan teman-teman sekepala dan sekaki ghalibnya diidam-idamkan manusia seperti kita. Namun, ada juga yang menginginkan pasangan yang berbeza minat dan matlamat tetapi penuh toleransi. Masing-masing lah.
Persoalannya, benarkah falsafah ini benar-benar menjamin kebahagiaan? Apa yang boleh saya katakan ialah ya, tetapi tidak sepenuhnya. Bergelimpangan kasus yang mengisahkan kematian ahli keluarga secara mengejut yang meragut nyawa sekaligus. Lesap begitu sahaja. Jika demikian, mana erti bahagia? Hidup sudah dipenuhi kegelapan dan samar-samar kehidupan selepas itu. Kehilangan insan tersayang tidak dapat dinafikan antara kehilangan yang amat dirasai. Teruslah mencari.......
Mungkin anda menyedari atau tidak, apa yang saya bincangkan setakat ini ialah berkenaan kaitan kebahagiaan dengan dunia. Benarkah dunia ini pembuka pintu kebahagiaan dan kesejahteraan? Anda lebih mengetahui.


Penulis merasakan anda sudah dapat meneka apakah kunci utama kepada kebahagiaan. ^^
Merasa redha atas kehilangan. Merasa syukur atas segala ni'mat. Bersabar berhadapan musibah. Tersenyum melihat keindahan ciptaan Tuhan. Menikmati kelembutan sentuhan bayu pagi menyapa pipi dan muka. Allah.. Itulah kebahagiaan.. Setiap perkara sudah diletakkan jalan dan alur-alurnya. Semua amalan-amalan ini pastinya membawa kita bertemu yang Esa. Sabar misalnya. Sebaik ditimpa musibah, malapetaka dan bencana, terlintas di benaknya,

Surah Al-Baqarah Ayat 216 :
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”


Subhanallah.. Jawapan itu sudah tersedia di hadapanmu wahai insan. Pencipmu amat mengasihimu. Kerna itu Dia sudi menyediakan jalan-jalan yang akan membawamu kepadaNya. Dia merinduimu. Tinggal lagi kamu mahu atau tidak. Kamu masih mahu terus dibelenggu kepalsuan dunia atau hendak mula mencari bahagia. Yakinlah, saat kamu melepaskan dunia, dunia itu akan mencarimu.

Apabila hilang harta, terus disaluti dengan redha. Ketika memilikinya, diurus untuk mencari kebahagiaan dan ketenangan. Menyenangkan dan menggembirakan hati anak-anak yatim, orang-orang susah, keluarga miskin. Bukankah itu ketenangan yang abadi apabila melihat manusia gembira seperti kita?

Apabila dikurnia kemegahan pangkat dan darjat, terus dikembalikan kemuliaan itu kepada Tuhan Pemilik Angkasa. Sedar diri.

Keluarga dan sahabat serta teman penyejuk mata. Melihat mereka mengingatkan kita kepada kematian. Mengundang zikir dan istighfar di lidah dan hati. Tidak lokek berkongsi ilmu dan teguran. Bersama mereka mengingatkan kita kepada Allah dan ukhwah yang dibina Rasulullah.. INDAH !

Hidup pada menyembah Allah. Bersujudlah, rendahkanlah dirimu di hadapan tuan empunya empayar semesta. Hinakanlah dahimu sujud menghempas bumi kerana dari situ asalmu, dan ke situ jualah kamu kembali. Ketahuilah, Allah terlalu dekat kepadaMu (^^)

~Amante de Dios~
Wallahua'lam

3 comments:

sufiyy imra'ah said...

tajamkan pena,tajamkan minda.lebarkan lagi sayap dan aliran dakwah ini.barakallahufik..

Anonymous said...

syukran ^^

yathi said...

bermnfaat