Tuesday, August 23, 2011

Hakikat Ketenangan

Salam sahabat semuanya. Bismillahirrahmanirrahim.
Ketenangan atau kebahagiaan selalu didambakan manusia seluruhnya. Walaupun sesetengah insan tidak menyedari hakikat ini, tetapi inilah hadiah teragung dari Allah. Kehidupan orang yang mempunyai cuma rumah usang kadangkala lebih indah dan mesra berbanding orang yang memiliki vila dan istana. Wujud juga manusia yang makan bersila di atas lantai rapuh dimamah serangga, namun begitu mereka jauh lebih selesa dan kenyang berbanding manusia yang makan di hotel dan mahligai. Sememangnya bahagia ini suatu yang sangat misteri. Orang miskin boleh bahagia ke? Bahkan ada orang sepanjang hidupnya tidak pernah kenal erti senang, namun martabatnya tinggi di sisi Allah. Mereka dapat kecapi keanehan bahagia.
Sesungguhnya manusia itu akhirnya akan lelah dan mengalah. Akhirnya mereka kembali mencari keindahan dalam kehidupan setelah falsafah hidup mereka gugur dan tersungkur. Ada yang menjangkakan harta pembuka bahagia. Tidak kurang merasakan pangkat besar kunci ketenangan. Mungkin juga ada yang beranggapan isteri dan anak-anak penyeri kehidupan.
Sejarah manusia sudah membuktikan semua itu. Memiliki harta setinggi gunung sekalipun, kepuasan dan kehendak tidak pernah mati. Tidak pernah cukup. Akhirnya harta menyibukkan manusia mencarinya sehingga lalai mengumpul kekayaan. Kebahagiaan semakin hari, semakin jauh merangkak pergi. Perhatikan sekiranya manusia ini jatuh muflis, apakah dia akan merasakan kebahagiaan? Pastinya tidak. Kenapa? Kerana harta bukan kunci bahagia.
Tidak cukup dengan harta yang melimpah-limpah, mereka juga berlumba-lumba mendapatkan pangkat termulia. Bersaing siang, senja dan malam mengejar darjat pengiktirafan sehingga akhirnya mereka terlupa bahawa bahagia dan pangkat itu bukannya adik-beradik. "Dipikatnya pangkat, bahagia pun turut tertawan dan jatuh hati". Tidak. Apa jadi sekiranya secara mendadak manusia spesis ini tersungkur menjamah bumi? Dikhianati dan dibuang kerja. Falsafah yang mereka pegang "Pangkat kunci bahagia" kini sudah patah anak kuncinya. Bagaimana mungkin pintu bahagia itu mampu terbuka? Maka mereka menyedari hakikat itu dan terus mencari kunci bahagia yang hakiki.
Suasana dilimpahi isteri rupawan/suami tampan, anak-anak menawan, sahabat-handai dermawan. Sudahkah itu menjamin anak kunci bahagia? Belum tentu. Kehidupan yang dihiasi keluarga dan teman-teman sekepala dan sekaki ghalibnya diidam-idamkan manusia seperti kita. Namun, ada juga yang menginginkan pasangan yang berbeza minat dan matlamat tetapi penuh toleransi. Masing-masing lah.
Persoalannya, benarkah falsafah ini benar-benar menjamin kebahagiaan? Apa yang boleh saya katakan ialah ya, tetapi tidak sepenuhnya. Bergelimpangan kasus yang mengisahkan kematian ahli keluarga secara mengejut yang meragut nyawa sekaligus. Lesap begitu sahaja. Jika demikian, mana erti bahagia? Hidup sudah dipenuhi kegelapan dan samar-samar kehidupan selepas itu. Kehilangan insan tersayang tidak dapat dinafikan antara kehilangan yang amat dirasai. Teruslah mencari.......
Mungkin anda menyedari atau tidak, apa yang saya bincangkan setakat ini ialah berkenaan kaitan kebahagiaan dengan dunia. Benarkah dunia ini pembuka pintu kebahagiaan dan kesejahteraan? Anda lebih mengetahui.


Penulis merasakan anda sudah dapat meneka apakah kunci utama kepada kebahagiaan. ^^
Merasa redha atas kehilangan. Merasa syukur atas segala ni'mat. Bersabar berhadapan musibah. Tersenyum melihat keindahan ciptaan Tuhan. Menikmati kelembutan sentuhan bayu pagi menyapa pipi dan muka. Allah.. Itulah kebahagiaan.. Setiap perkara sudah diletakkan jalan dan alur-alurnya. Semua amalan-amalan ini pastinya membawa kita bertemu yang Esa. Sabar misalnya. Sebaik ditimpa musibah, malapetaka dan bencana, terlintas di benaknya,

Surah Al-Baqarah Ayat 216 :
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”


Subhanallah.. Jawapan itu sudah tersedia di hadapanmu wahai insan. Pencipmu amat mengasihimu. Kerna itu Dia sudi menyediakan jalan-jalan yang akan membawamu kepadaNya. Dia merinduimu. Tinggal lagi kamu mahu atau tidak. Kamu masih mahu terus dibelenggu kepalsuan dunia atau hendak mula mencari bahagia. Yakinlah, saat kamu melepaskan dunia, dunia itu akan mencarimu.

Apabila hilang harta, terus disaluti dengan redha. Ketika memilikinya, diurus untuk mencari kebahagiaan dan ketenangan. Menyenangkan dan menggembirakan hati anak-anak yatim, orang-orang susah, keluarga miskin. Bukankah itu ketenangan yang abadi apabila melihat manusia gembira seperti kita?

Apabila dikurnia kemegahan pangkat dan darjat, terus dikembalikan kemuliaan itu kepada Tuhan Pemilik Angkasa. Sedar diri.

Keluarga dan sahabat serta teman penyejuk mata. Melihat mereka mengingatkan kita kepada kematian. Mengundang zikir dan istighfar di lidah dan hati. Tidak lokek berkongsi ilmu dan teguran. Bersama mereka mengingatkan kita kepada Allah dan ukhwah yang dibina Rasulullah.. INDAH !

Hidup pada menyembah Allah. Bersujudlah, rendahkanlah dirimu di hadapan tuan empunya empayar semesta. Hinakanlah dahimu sujud menghempas bumi kerana dari situ asalmu, dan ke situ jualah kamu kembali. Ketahuilah, Allah terlalu dekat kepadaMu (^^)

~Amante de Dios~
Wallahua'lam

Tuesday, August 9, 2011

Islam, terasakah?

Kita akan betul2 menghargai Islam apabila kita telah 'membayar' harganya. Saat itu, baru kita faham betapa bernilainya Islam ini. Kesusahan, kepayahan, perjuangan, kesakitan, cacian, makian. Kalau duduk sengan-lenang, hampir pasti kita akan mengkufuri ni'mat yang paling besar ini. Allah, jadikan kami dari golongan yang sedikit.

Muhasabahlah. Apakah kita sudah merasai Islam itu bernilai? Kalau tiada Islam, apa masalahnya? Renung2 sahabat. Kalau sampai tidak boleh menjawab persoalan itu, istighfar banyak2. Mohon Allah ganti hati kita yang telah mati. Dan mohon agar dikurniakan ilmu, hidayah dan taufiq. Amiin

Berapa ramai sekadar mengatakan Islam is the way of life dan berapa ramai yang berdusta? Katanya cara hidup, tapi hidupnya tidak menggambarkan Islam yang sebenar.

## muhasabah utk penulis lah yg plg utama ##



Kejar tawaran Allah. Allah berjanji akan berlaku pertempuran akhir zaman. Peperangan terhebat dalam sejarah manusia. Rebutlah gelaran pejuang itu. Kita kejar gelaran syahid. Mulakan dengan diri sendiri, insyaAllah tiba masanya kelak, kita akan bersedia. Saat itu, GEMPUR MUSUHMU dan HARAPKAN KEMENANGAN ISLAM !!

Sunday, August 7, 2011

Islam atau Umat Islam?

Assalamu'alaikum. Mudah-mudahan semua selamat sejahtera menjalani ibadah puasa. Ibadah yang ditetapkan oleh Allah untuk hamba-hambaNya yang beriman. Tujuan utama kita adalah untuk memperoleh taqwa.

Apa itu taqwa? Jawapan yang mudah difahami, buat semua perkara yang diredhai Allah. Yep. Lebih tepat, berhati-hati dalam memilih amalan dan perbuatan. Meletakkan keredhaan Allah sebagai kompas kehidupan.

Ok, juz muqaddimah.

Back to the topik, Islam = Paksaan, Membebankan? Adakah benar sedemikian?

Saya sekadar ingin berkongsi pengalaman berdebat dengan seorang athiest dan seorang yang mengaku Islam, tetapi sewenang-wenangnya menetapkan hukum.

Kenapa mereka sanggup keluar dari Islam dan menjadi seorang athiest? Sepanjang dialog dengan seorang dari mereka, ternyata kefahaman yang salah terhadap agamalah yang membuat mereka terpesong. Ya, dia tersalah memahami agama. Katanya, 4 tahun melakukan kajian terhadap Islam, akhirnya dia keluar Islam. Atas sebab apa? Katanya lagi, Allah itu hanya ilusi manusia yang mengaku Islam. Astaghfirullahal'azim.
Kemudian, saya mengajukan 1 soalan, "Adakah awak sudah mengamalkan keseluruhan Islam untuk mengatakan Islam itu salah? ". Saya yakin anda pasti dapat meneka jawapannya. TIDAK! Ini jawapannya yang saya dapat daripada dia..

"solat? aku solat... baca quran? aku baca quran.. dgn ceramah tiap minggu dkt masjid? aku dgr ceramah agam tiap minggu cakap je ustaz kazim.. ustaz halim nasir semua dgr tiap minggu.. buku ugama? slalu baca pasal kiamat bla2..."

Astaghfirullah, ceteknya pandangan dia tentang Islam. Mudah-mudahan sahabat2 tidak mempunyai fikiran seperti itu. Apakah perkara pertama yang perlu difahami apabila kita mengaku Islam? Adakah solat, puasa, reti membaca Al-Quran? TIDAK! Mari kita lihat dan singkap kembali sejarah dakwah Rasulullah. Apakah perkara pertama yang diajar oleh Allah melalui lidah Rasulullah kepada masyarakat arab ketika itu? Solat? Puasa? Tutup aurat? Anda lebih mengetahui.


" Perkara pertama yang perlu difahami sebelum kita mengaku Islam ialah kita menyembah Allah"


Adakah selama ini kita mendirikan solat kerana mak ayah suruh? Puasa kerana kawan pun puasa sama? Tutup aurat kerana takut ustaz ustazah marah? Inilah pemikiran yang perlu 'dibersihkan' daripada minda kita. Rasulullah mengajar untuk kita menerima bulat-bulat bahawa kita ini sebenarnya menyembah Allah. Antara yang boleh difahami dengan maksud menyembah Allah ialah menerima Allah sebagai Tuhan, diri sebagai hamba. Jadi, apakah tugas hamba? IKUT dan TAAT segala perintah Tuhannya. Selain itu, perlu juga difahami kita ini tersangat memerlukan kebergantungan kepada Allah. Apabila kita sudah menerima hakikat ini, barulah kita akan ikhlas melaksanakan segala perbuatan dan amalan yang diperintahkan kepada kita.

Berbalik kepada kisah athiest tadi, dia juga terlalu banyak menggunakan akal untuk membuat andaian dan sangkaan semata-mata. "Tengok orang Islam, bom sana, bom sini". Nampak tak? Sangkaan dia adalah dengan melihat penganutnya. Saya akan ulas bab ini sebentar lagi. Dia juga terlalu bergantung kepada pemikiran dan akal yang jelas terbatas. Tersangat mengagungkan akal yang kononnya tidak terbatas. Kemudian, saya ajukan 1 soalan untuk membuktikan akal manusia ini ada batasnya.

" Apakah nombor terakhir dan paling besar nilainya?"

Sudah pasti anda dapat mengagak jawapannya. Infiniti? Infiniti bukan nilai. Jadi, apa jawapannya? TIADA SIAPA YANG TAHU melainkan Allah. Alhamdulillah, ilham ini datangnya dari Allah. Akhirnya terbukti kemampuan akal untuk memikirkan segala sesuatu adalah terbatas. Manusia tidak mampu untuk memikirkan segala perkara semata-mata menggunakan akal. Kerana itu Allah menurunkan Al-Quran dan mengutuskan Rasulullah untuk memandu manusia daripad tersesat. Dan, Al-Quran itu bukti bahawa Allah lah pencipta alam dan manusia dan dalam masa yang sama menafikan 'pemikiran infiniti' yang dibangga-banggakan oleh athiest ini. Semoga Allah memberikan hidayah kepadanya. Amiin.

Selesai menganalisi pegangan athiest ini yang jelas sonsang kerana berpandukan akal untuk menentukan arah perjalanan.

Kita pergi kepada kesalahan2 umat Islam yang menyebabkan timbul isu "Islam itu mengajar pembunuhan, ketidakadilan, kesombongan, kebiadapan"

" Satu fakta yang tidak mungkin anda dapat nafikan, ramai UMAT ISLAM yang menggunakan kata-kata kesat apabila bertindak untuk membela Islam !! "

Adakah anda tidak bersetuju dengan saya? Terpulanglah. Tapi ini hakikat. Apabila golongan2 seperti ini menghina atau menafikan kewujudan Allah, manusia yang lagaknya seperti 'pembela Islam' mula melontarkan pandangan mereka yang disulami cacian dan makian yang jelas mendatangkan persepsi "Haha.. Ni la Islam, mencarut je keje.. Islam mengajar mencarut". Akhirnya? Berlaku lah pertikaman lidah yang membawa kepada banyak lagi cacian dan makian daripada UMAT ISLAM yang terlibat. Astaghfirullah. Kita seolah-olah dicucuk jarum beracun yang melumpuhkan pemikiran dan adab kita sebagai seorang Muslim. Allah. Inikah yang kita boleh banggakan sebagai penganut Islam? Fikirlah teman-teman.



Apa yang saya perhatikan ialah athiest ini mengutarakan argument-argument yang bernas. Bukan maksudnya saya menyebelahi dia, tetapi apa yang ditimbulkan itu sangat masuk akal. Malangnya, setiap isu-isu yang dibangkitkan seharusnya ditangani dengan hikmah dan kebijaksanaan, namun kita sering terlupa. Inilah agenda mereka. Menyesatkan kefahaman orang-orang Islam yang rapuh tentang Tuhannya. Salah siapa? Tanyalah diri anda. Jawablah sendiri. Saya tidak perlukan jawapan itu. Kamu yang memerlukan jawapan untuk diri kamu. Apabila muslim-muslim (malu untuk mengaku mereka muslim jika dilihat pada akhlak mereka) itu tidak dapat membalas hujah golongan athiest ini, mereka akhirnya meninggalkan perbahasan. Yang akhirnya memberi kesan dalaman kepada mereka pastinya. Allah, peliharalah hati-hati kami dari tergelincir mensyirikkanMu. amiin.

Kesimpulannya, umat Islam sendirilah yang menggambarkan bahawa Islam itu sebuah agama paksaan. Islam itu agama yang membebankan dan menyusahkan sedangkan Islam agama fitrah dan paling sempurna. Islam cara hidup yang tidak ada pada agama lain. Kristian tidak ada sistem ekonominya yang tersendiri. Islam ada sistem mu'amalat dan perbankan Islam. Itu salah satu contoh mudah.


Kerana itu, saya menyeru tiga perkara.

1) Jadilah orang yang berilmu

2) Amalkanlah ilmu

3) Bersabar menghadapi musuh Allah


"Yakinlah, Islam itu tetap akan menang dan akan dimenangkan oleh orang yang benar-benar beriman"

Wallahu ta'ala a'lam.

[Amante de Dios]

Tuesday, August 2, 2011

Kisah antara Imam Abu Hanifah dan Dahri (utusan Maharaja Rom yang ingin myesatkan umat Islam ketika itu)

"Soalan pertama aku wahai anak muda, benarkah Allah itu wujud?" soal Dahri memulakan majlis dialognya.


"Sesungguhnya Allah itu memang wujud", tegas Imam Abu Hanifah.


"Sekiranya benar Allah itu wujud, bila dia dilahirkan?" tanya Dahri lagi tersenyum. Soalan pertama itu yang membuat ramai ulama kelu lidah bagi menjawabnya.


"Allah tidak dilahirkan dan tidak pula melahirkan. Dia yang pertama dan terakhir, tidak ada sesuatu sebelumnya dan tidak ada sesuatu sesudahnya," jawab Imam Abu Hanifah.


"Mustahil tidak ada yang mendahuluinya dan tidak ada kemudian darinya. Berikan contohnya kepada aku", balas Dahri.


Imam Abu Hanifah menunjukkan lima jari pada tapak tangannya lalu berkata, " Cuba kamu lihat ibu jari ini. Adakah ada jari sebelumnya? Cuba lihat pula jari kelingkingku ini. Adakah jari lain selepasnya? Sekiranya jari ini tuhan boleh buat begitu, apatah lagi dirinya? "


1-0

*******************************************************************************


"Kata kamu, Allah itu wujud. Sekiranya begitu di manakah tuhan kamu itu berada kerana setiap yang wujud itu pasti ada tempatnya?"


"Maha Suci Allah yang tetap wujud tetapi tidak mempunyai tempat!" jelas Imam Abu Hanifah.


"Bukankah setiap yang wujud pasti ada tempatnya?" Lihat pohon kayu itu tempatnya di atas tanah. Manusia wujud tempatnya di atas bumi. Ikan itu wujud tempatnya di dalam air. Setiap yang wujud pasti bertempat".

"Jawapannya mudah sahaja. Cuba lihat pada dirimu sendiri. Bukankah kamu ada nyawa......," kata Imam Abu Hanifah.


"Dalam tubuhku ini memang ada nyawa. Bahkan setiap makhluk yang hidup pasti ada nyawa!" sahut Dahri.


"Adakah kamu tahu di manakah letaknya nyawa atau roh itu? Di kepala kamukah, di perutkah atau di hujung tapak kakimu?" balas Imam Abu Hanifah.


##Kemudian Imam Abu Hanifah meminta segelas susu.##


"Adakah kamu percaya dalam susu ini ada mengadungi lemak?"


"Aku percaya....," jawab Dahri.


"Tunjukkan kepada aku di manakah lemak itu berada? Di bahagian ataskah, di bahagian tengahkah ataupun di bahagian bawah?" tanya Imam Abu Hanifah.


"Bagi mencari di manaka letaknya lemak dalam air susu pun kita tidak mampu dan bagi mengetahui letaknya roh dalam diri kita tidak tahu, inikan pula mahu mencari di mana letaknya Zat Allah".


2-0

*******************************************************************************


"Beritahu aku keadaan zat Tuhanmu, apakah ia keras dan padat seperti besi, ataupun cair seperti air, ataupun berwap seperti udara?" tanya Dahri lagi.


"Pernahkah kamu melihat orang sakit yang akan meninggal?" tanya Imam Abu Hanifah pula.


"Selalu aku melihatnya" jawab Dahri.


"Sebelum meninggal dunia, pesakit itu masih boleh bercakap serta menggerak-gerakkan anggotanya. Tetapi apabila

meninggal dunia, dia diam kaku dan bisu. Mengapa jadi begitu?" tanya Imam Abu Hanifah pula.


"Kerana roh meninggalkan tubuhnya ataupun nyawanya sudah hilang", jawab Dahri.


"Apakah kamu melihat roh itu keluar ataupun nyawanya dicabut?" tanya Imam Abu Hanifah lagi.


"Tidak", jawab Dahri.


"Kamu tidak dapat melihat roh itu kerana ia bukan benda padat seperti besi, ataupun cecair seperti air ataupun menguap seperti udara? Betul?" tanya Imam Abu Hanifah.


"Entahlah, aku tidak pasti", kata Dahri.


"SEkiranya kita tidak mengetahui bagaimana bentuk roh itu, bagaimana kita hendak mengetahui zat Allah?"


3-0

*******************************************************************************


"Ke arah manakah Allah sekarang sedang menghadapkan wajahnya? Sebab segala sesuatu pasti mempunyai wajah dan arah tempat menghadap, " tanya Dahri.


"Sekiranya kamu menyalakan lampu dalam gelap, ke arah manakah sina lampu itu menghadap?"


"Sinar lampu itu pasti menghdap ke seluruh arah dan penjuru".


"Sekiranya demikian halnya dengan lampu yang cuma buatan manusia, bagaimana dengan Allah Pencipta langit dan bumi? Dia nur cahaya langit dan bumi. "


4-0

*******************************************************************************


"Kamu percaya adanya syurga?" tanya Dahri lagi.


"Saya percaya", jawab Imam Abu Hanifah.


"Benarkah dalam syurga itu disediakan pelbagai jenis makanan dan minuman? Tetapi penghuninya tidak buang air besar dan kecil. Bukankah itu cuma khayalan?"


"Bukankah kamu pernah berada dalam perut ibu kamu selama sembilan bulan? Selama dalam kandungan ibu itu kamu juga makan dan minum. Tetapi kamu tidak pernah buang air kecil dan besar. Itu baru dalam kandungan perut ibu? Bagaimana pula sekiranya di dalam syurga? "


5-0

*******************************************************************************


"Anak muda yang masih mentah, beritahu aku apa yang sedang dilakukan oleh Tuhan kamu ketika ini?" Soalan Dahri yang terakhir itu membuat Imam Abu Hanifah tersenyum riang. Dia seprti menduga soalan itu yang akan ditanyakan lawannya.


"Soalan yang terakhir itu sangat menarik. Ia menentukan siapa yang kalah dan siapa yang menang. Kerana soalan itu penting, saya perlu menjawabnya dari tempat yang tinggi supaya dapat didengar oleh semua orang. Kerana itu marilah kita bertukar tempat. Kamu turun ke bawah dan saya naik ke atas mimbar supaya suara saya jelas kedengaran", kata Imam Abu Hanifah.


"Baiklah, dengan senang hati aku turun ke bawah dan kamu boleh mengambil tempat aku di atas mimbar", kata Dahri yang berasa yakin beroleh kemenangan.


Imam Abu Hanifah berdiri di atas mimbar lalu menghadap ke arah orang ramai lalu berkata dengan suara yang lantang, "Wahai sekalian manusia. Ketahuilah Dahri yang berada di atas mimbar, diturunkan Allah ke bawah mimbar. Allah juga menaikkan yang hak sebagaimana saya, yang berada di bawah sana, dinaikkan ke atas mimbar Masjid Jamek ini".


Maka bergemalah takbir daripada orang ramai.


BINGGO!

*******************************************************************************

Dipetik daripada buku Imam Imam Yang Benar karya Abdul Latip Talib.




(Mukasurat 60-69)


Semoga Allah merahmati Pak Latip. Amiin.


Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu hingga kamu menyimpang (dari kebenaran). Dan jika kamu memutarbalikkan (kata-kata) atau enggan bersaksi, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala yang kamu kerjakan." (An-Nisaa': 135).


Petanda

## - tambahan dan bukan berasal dari penulis asal. Tujuan penambahan untuk memudahkan cerita dan pemahaman.


Wallahu ta'ala a'lam..