Monday, November 7, 2011

Perjalanan Kehidupan


Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar wa lillahil hamd.. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagiNyalah segala puji-pujian..

Agungkanlah Allah seagung-agungnya.. Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah.. Benarkan kalimah itu, yakin dengan pasti, ucapkan dengan lidah dan buktikan pembenaranmu itu dengan amalanmu..

Perjalanan seorang hamba yang tercari-cari di mana rahmat dan ketenangan. Bermula ceritera dengan satu harapan yang teramat besar. Mengusahakan yang terbaik untuk dipersembahkan kepada Ilahi.

Dalam perjalanan itu, Allahurobbi. Hanya Allah yang tahu betapa peritnya duri-duri yang menusuk dan menembusi diri. Berdarah yang memungkinkan bernanah. Allah, sakit! Meskipun keparahan yang aku temui itu sudah membarah, namun pada dasarnya kesakitan itu telah aku anak tirikan. Mehnah yang menarah kiri dan kanan, menghiris atas dan bawah, mencantas depan dan belakang. Alatannya beracun dan berbisa! Sungguh, aku gugur di persimpangan.

Sehingga suatu waktu, aku mengeluh, "Di mana kedamaian hati ini?". Lantas membuatkan aku merindui "zaman cahaya"ku dahulu. Ah, bak kata orang, "Siapa kamu pada masa lalu tidak penting, tetapi siapa kamu pada hari esok lebih mustahak". Aku pegang kata-kata itu.

Tidak terkira betapa banyaknya aku tersungkur menyembah bumi yang berlopakkan najis dan nista. Terpalit di sekelian badanku kotoran yang menjelikkan. Aku sedar kesilapanku, tetapi itulah manusia, alpa dan jahil. Betapa berbisanya racun itu, sehinggakan aku hampir-hampir berputus asa. Alhamdulillah, berbekalkan ilmu yang pasti, aku yakin rahmat Allah itu teramat luas. PASTI ! Dan Allah pasti rindu mendengar rintihan taubatku. Dan aku berpegang kepada 1 prinsip bahawa ubahlah dahulu jiwamu, pasti pertolongan Allah datang menyusul. Usaha semahu mungkin, Allah itu dekat.



Malu untuk aku menoleh ke belakang melihat dosa-dosa yang lalu, Allah... Sekiranya dihitung rahmat dan nikmatMu untuk dibandingkan dengan amalanku,................... Cukuplah aku menangisinya di ruangan qalbuku, kerana kata-kata lidah tidak akan pernah mengerti dan menzahirkan kata-kata hati. Aku tertunggu-tunggu penawar dari Allah. Di mana, bagaimana. Bermacam cara sudah aku usahakan, beraneka usaha sudah aku ikhtiarkan, tetap sahaja aku tewas di pentas dunia ini.

Dalam aku terkial-kial meniti jambatan dunia ini, akhirnya Allah 'sakit'kan aku. Allah.. Mindaku mengingatkanku, "Hey, dah lama kamu tak sakit!". MasyaAllah, Alhamdulillah. Memang benar, sudah lama aku tidak sakit. Tak baik untuk aku ceritakan kisah sakitku, biarlah sejarah itu kekal menjadi milik aku dan Tuhanku.

Rupa-rupanya, dengan sakit itu Allah 'rendah'kan musuhku. Allah kurangkan musuhku. Allah permudahkan aku dengan menghadirkan kesusahan. Allah beri satu kemudahan, Allah beri satu pengajaran. Maha Suci Allah, Maha Lemah Lembutnya Engkau kepada hambaMu. Allah, Allah Allah. Allah mencerahkan pandanganku. Pemikiranku bergolak, seolah-olah Allah membisikkan, "Ketenangan itu teramat hampir, tetapi ia tidak dapat menyusup ke dalam hatimu. Salutan dosa yang hitam menebal telah membalut kemas hatimu sehingga ketenangan tidak tahu arah mana ia dibenarkan masuk"

Benarlah janji Allah. Ketenangan itu kini mengalir di dalam rohku. Aku teramat mengerti bahawa haq dan batil itu tidak mungkin bercampur. Mana mungkin aku menginginkan ketenangan dan dalam masa yang sama aku melakukan maksiat yang terang-terang membawa kepada kecelaruan roh dan jiwa? Tiba-tiba ayat ini terlintas di benak fikiranku, "Setiap manusia itu pasti melakukan dosa. Namun, yang membezakan kamu dan orang yang lebih mulia daripadamu ialah taubat. Semakin banyak kamu menyesali perbuatanmu, semakin mulia kamu di sisi Allah". Mungkin benar, mungkin tidak. Wallahua'lam.


"Bercakaplah dengan Allah dan Rasulullah. Allah dan baginda mendengarnya, percayalah. Allah dan Rasulullah pasti menjawabnya, pasti.."