Wednesday, July 13, 2011

Hidup Dan Mati Sama Sahaja andai....

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh wamaghfiratuhu waridhwanuh..

Kaifa halukum? Apa khabar? Sihat? Alhamdulillah, ni'mat kesihatan, ujian kesusahan, segala-galanya datang dari Tuhan Yang Maha Memahami dan Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambaNya. Panjatkan rasa syukur mahu pun sabar atas segala karunia kesengsaraan apatah lagi anugerah kesenangan. Mudah-mudahan, kita tergolong dalam golongan yang sedikit.


Perasan ataupun tidak, kebanyakan perbuatan atau amalan kita sering disandarkan pada pandangan manusia. "Haih, apa plak orang fikir nanti?" , "Kalau aku buat ni, member2 aku cakap ape plak nanti?" , "Aku teringin nak bertudung labuh, tapi nanti orang kata .." , "Aku rasa macam da taknak couple, sebab aku tahu Allah tak suka, tapi...". Tapi, tapi dan terus tapi. Nanti, nanti dan terus nanti. Perlukah semuanya ber'tapi' atau ber'nanti'? Mestikah semua perbuatan kita dipaksikan pada pandangan dan persepsi manusia?


Teman-teman, tidak dinafikan lidah-lidah yang mengata itu terlalu banyak. Lidah merupakan anggota yang tidak bertulang, tetapi amat ampuh dan berbisa. Kerana lidahlah, masyarakat boleh hancur-lebur. Dan kerana lidah juga, aqidah boleh gugur! Tapi kan, mari kita fikir-fikir sejenak.


"Berapa ramai antara kita tahu Allah itu wujud?

Dan berapa ramai pula yang sedar Allah Maha Melihat?

Dan berapa ramai antara yang faham itu MERASA kehadiran Allah dalam kehidupannya?

Adakah kita merasa kewujudan kewujudan Allah saat melihat kebesaranNya?"




Tahu, faham dan rasa. Tiga perkataan yang merangkumi tiga tingkatan atau tahap yang sangat berbeza. Merasa kewujudan dan kehadiran Allah, itulah ihsan. Merasa dipandang, diintai, diperhati, dilihat dan direnung. Golongan ini merasakan Allah bukan terbatas dalam melihat fizikal atau amalan luaran mereka semata-mata, tetapi mereka turut merasa Allah melihat dan mengetahui niat dan lintasan hatinya. Subhanallah, mulianya maqam golongan ini.


Sebab itulah apabila perasaan "Merasa kehadiran Allah" itu sudah tersemat utuh dalam hati manusia, segala perbuatannya adalah semata-mata untuk dipandang mulia di sisi Allah. Amalan mereka dinisbahkan pada pandangan dan penilaian Allah. Persetankan kata-kata manusia yang menjelekkan. Manusia itu pun lemah dan penuh kedhaifan seperti kita juga kan? Kita terlalu fokus kepada penilaian juri-juri dunia, sehingga kita lupa kepada penilaian juri yang Maha Sempurna.


Belajar dan terus belajar. Kehidupan ini sebenarnya penuh pelajaran dan pengajaran, atau selalu orang sebut, "Pengalaman dan hikmah". Kita alpa dan lupa, didikan dan tarbiyah dari Allah itu tidak seperti manusia. Makin kita dekat dengan Allah, makin besar ujian dan dugaannya. Hati-hati orang beriman dapat mengagak dan merasa bahawa setiap kesulitan dan kepayahan yang mereka hadapi merupakan cara Allah mengajar mereka supaya mereka sedar betapa lemah dan tidak berdayanya mereka. Kerana itu apabila mereka diuji dengan ujian yang semakin berat, semakin kukuhlah keimanan mereka kepada Allah. Kerana mereka sedar bahawa kekuatan mereka itu sangatlah terbatas, maka pergantungan dan pengharapan kepada Allah akan bertambah kental, acapkali mengharap dan mengemis pertolongan Allah bagi menghadapi dunia ini.




Sahabat, andai kehidupan ini tidak kita gunakan untuk mencapai rasa cinta dan kasihnya Allah kepada kita, bila lagi? Adakah kita hendak menunggu saat dibentangkan neraka, yang apinya menjulang-julang, panas dan membakar, berwarna hitam dan tidak pernah padam, baru nak menyesal? Sungguh, Allah telah merakamkan di dalam Al-Quran sebilangan dialog antara penghuni-penghuni neraka. Mereka bercita-cita untuk kembali ke dunia walau sebentar untuk menjadi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Allah, sungguh aku gerun andai tergolong dalam kalangan mereka Tetapi tanyakan dirimu, "Adakah aku tidak layak menjadi penghuni neraka? Segala ciri-ciri ahli neraka terpalit di wajah dan tubuhku. Mana mungkin aku LAYAK menjadi ahli syurga!! Aku ahli neraka!!"




Allahurabbi.. Renungkanlah. Layakkah kita dberi gelaran ahlul jannah (ahli syurga)? Yang ahli-ahlinya dicemuh, dihina, dizalimi, dipukul, diejek, difitnah dan disakiti di dunia dulu, tetapi mereka tahu dan faham, "Solatku, ibadahku, hidupku dan matiku SEMATA-MATA kerana Allah, Tuhan sekalian alam". Hati mereka tenang dan tenteram melayan karenah dunia, kerana mereka sedar harga syurga itu terlalu mahal. Nah, sekarang Allah menjemput mereka dengan penuh kemuliaan, diraikan para malaikat yang tidak jemu-jemu mengucapkan salam sejahtera, dinanti para bidadari yang menyanyikan lagu-lagu indah, burung-burung berkicau merdu, haruman dan bauan syurga yang sedari tadi menjengah lubang hidung para ahlul jannah dan suasana cukup riuh dengan ucapan dan ungkapan syukur yang tidak terhingga kepada Allah.



Dan, melihat kekasih agung kita, Muhammad Bin Abdullah S.A.W menanti di pintu syurga, menyambut mesra ummatnya, yang mana ummatnya lah ummat pertama yang dipersilakan untuk merasai ni'mat syurga. Allah.. Pasti saat itu tersangat indah, dan aku pasti bayanganku ini tidak sampai kepada kegemilangan dan kemolekan hari tersebut.




"Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri
mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya
Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun
lagi Maha Penyayang."


(Az-Zumar : 53)




Allah yang kata, bukan saya (^^)v . Allah berpesan, jangalah berputus asa andai telah berdosa dan melampaui batas. Baik kan Allah? Ya Rahim, Ya Fattah, ampunilah dosa dan kekhilafan kami, ibu bapa kami, adik-beradik kami, sahabat-sahabat kami, guru-guru kami, para mujahidin, dan ummat Islam muslimin muslimat mukminin mukminat, sama ada yang masih hidup atau yang telah pergi. Amiin ya Rabbal 'alamin.

Janganlah kita tergolong dari manusia-manusia yang sia-sia amalan dan kehidupannya, yang mana hidupnya kosong, matinya terseksa. Na'uzubillah.



Hidup dan Mati Sama Sahaja andai............

Wallahua'lam

~Amante de Dios~

3 comments:

Anonymous said...

Smart..boleh selalu tulis lagi!

Anonymous said...

hamba bjiwa sufi..thniah akh.
moga thabat fi sabilillah ^^

Kembara cinta Ilahi said...

subhanallah...pnulisan yg sgt menarik, trus masuk ke dlm hati...shukron!!