Assalam, salam sayang, salam perkenalan, salam cinta dan salam ukhwah. Terlalu lama menyepi dari dunia blog. Sibuk, kadang-kadang tak teringat langsung. Mungkin hari ini Allah takdirkan untuk suatu perkongsian. Saya mulakan dengan ayat Al-Quran dari Surah Az-zariyat : 55,
"Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman"
Fitrah seorang manusia, tidak kiralah dia Islam, Kristian, Hindu, Buddha, hatta Atheist sekalipun, pasti mencintai ketenangan. Tiada suatu harga pun yang mampu membeli ketenangan jiwa. Kekayaan belum tentu mendatangkan ketenteraman jiwa, begitu juga kejayaan dalam karier. Kerana itu manusia akan berusaha berbuat apa sahaja untuk mencari ketenangan yang mendamai. Ada yang mencarinya dengan mengumpul harta kekayaan, ada yang pergi melancong, ada yang mencari pasangan, ada yang berusaha siang dan malam untuk beroleh kejayaan, ada yang menyaksikan alam ciptaan Tuhan dan bermacam-macam lagi perbuatan dan usaha.
Sebelum saya memanjangkan penulisan, saya tertarik dengan falsafah yang dibawa oleh Syeikh Yusuf Estes. Beliau mengguna pakai pendekatan yang sangat menarik untuk menerangkan "Ketenangan". Apa yang boleh saya simpulkan adalah begini (ini bukan kata-kata beliau secara tepat),
" Dalam kehidupan, manusia berusaha mencari kebenaran. Mereka tidak mencari Al-Quran, Bible, Weda ataupun Tuhan. Tetapi mereka mengkaji dan meneliti, dengan niat agar kajian dan penelitian mereka akan membawa mereka kepada cahaya yang diimpikan. Yang sebenarnya, mereka mencari ketenangan.
If you do these 4 things, you will be blessed by peace. Trust me. What are those things? Surrender, submission, obedient and sincerity, then you will get peace. If I take this 5 words, and there is one word in Arabic that has the same meaning with those words. Do you know what is it? No? "
ISLAM!
Allahuakbar. Itulah hakikat dan kebenarannya. Kalian perhatikanlah segala yang berlaku, penemuan-penemuan kesihatan dan sains, ada yang secara umum, bahkan secara khusus disebut dalam sebuah buku yang berusia 1400 tahun. Ianya juga disebut oleh seorang manusia 1400 tahun dahulu. Bukankah menjadi suatu keajaiban bagi seorang manusia untuk meramal secara tepat apa yang bakal berlaku 1000 tahun akan datang? Bukan itu sahaja, buku yang mulai wujud di tengah-tengah gurun dan padang pasir Arab yang kering-kontang mampu menceritakan lautan di Amazon dan mengisahkan pengembangan alam semesta? Dari mana datang kebijaksanaan manusia tersebut? Dan siapa sebenarnya penulis buku tersebut?
LA ILAHA ILLALLAH MUHAMMADUR RASULULLAH
Manusia terpilih itu bernama Muhammad bin Abdullah SAW, dan buku itu dikenali sebagai
Al-Quran.
Apa tujuan saya menceritakan semua ini? Apa kaitannya dengan ketenangan? Mungkin ada yang sudah jelas, mungkin saja ramai yang masih blurrr. (^^)
Teman-teman,
Apabila kita mendambakan ketenangan, maka perlu kita kenali dan tahu dari mana ketenangan itu hadir. Surah Ar-ra'd : 27 & 28,
"Dan orang-orang kafir berkata, " Mengapa tidak diturunkan kepadanya (Muhammad) tanda (mukjizat) dari Tuhannya? " Katakanlah (Muhammad), "Sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki dan memberi petunjuk orang yang betaubat kepadaNya",
(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram ".
Ketenangan itu datangnya dari Tuhan, pencipta ketenangan itu. Maka, logik untuk kita minta ketenangan itu dari pemiliknya, iaitu Allah. Namun, permintaan kita bersyarat. Bukankah Allah telah mengingatkan kita dalam Surah Al-Baqarah : 153,
" Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang. Sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar"
Apabila kita menyerahkan diri kepadaNya, mematuhi perintahNya, berusaha melakukan segala suruhan dan berusaha meninggalkan segala laranganNya dengan ikhlas, yakni kesemuanya terkandung dalam solat dan sabar, maka ketenangan itu akan hadir. Allah.
Saat Allah 'meniupkan' ketenangan agar mengalir dalam jiwa kita, itulah waktu yang tersangat bahagia. Seolah-olah semua masalah-masalah yang kita hadapi bakal selesai. Allah membukakan jalan dan kemudahan. Allah beserta kita dalam segala keadaan. Hati merasa teramat tenteram sehingga apa yang berlaku, hati tetap mengingati Allah. Datanglah apa jua cabaran dan dugaan, kebergantungan kita tetap pada Allah, yang mencipta segala masalah di dunia ini. Keyakinan bahawa Allah menguasai segalanya, menyebabkan kita merasa selamat dan terpelihara.
Perhatikanlah kekuasaan Allah. Sepanjang sejarah manusia, tiada seorang pun yang mampu menahan matahari daripada tenggelam, menghalang malam daripada menjelma, menerbitkan matahari dari barat,
menterbalikkan pusingan bumi, menahan gempa bumi,
letusan gunung berapi, bahkan mengawal DEGUPAN JANTUNG mereka sendiri. MasyaAllah. Allahuakbar, Allah Maha Besar. Tidakkah kita mahu berfikir atau hati kita sudah terlalu gelap dan mati?
Rendahkanlah dirimu dalam sujud, rendahkan serendah-rendahnya, letakkanlah dirimu sehina-hina makhluk di hadapan Allah, maka ketenangan itu akan hadir menyentuh sanubarimu.
Wallahua'lam